M Hifzuddin Ikhsan


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) sudah mematuhi semua arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam menangani pandemik Covid-19 dalam kalangan penuntutnya.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), UUM mengambil langkah mengawal penularan Covid-19 daripada menjangkiti penuntut dan kakitangannya.

Katanya, antara langkah diambil adalah hanya membenarkan kakitangan kategori keperluan sahaja masuk ke kampus dan seramai 4,000 penuntut tidak dibenarkan keluar.

"Saya menegaskan UUM sentiasa mematuhi semua arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan, malah warga kampus termasuk penuntut sentiasa diingatkan tentang arahan berkenaan.

"UUM juga amat menitikberatkan keselamatan, kebajikan dan kesihatan kakitangan serta pelajar bagi memastikan tiada sebarang jangkitan Covid-19 berlaku di dalam kampus.

"Jabatan Keselamatan juga merekodkan pergerakan individu keluar dan masuk serta menjalankan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan memastikan mereka memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, pihaknya juga sentiasa mengingatkan setiap warga yang berada di kampus agar mengamalkan penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka sepanjang masa.

"Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang beroperasi turut menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada warga kampus selain kebajikan pelajar turut dijaga apabila disediakan makanan tiga kali sehari.

"Kakitangan yang mendapat kebenaran polis merentas sempadan negeri pula perlu melapor kepada Jabatan Pendaftar untuk tujuan pemantauan dan mengelak warga kampus terdedah kepada risiko," katanya.

Katanya, bagi tujuan keselamatan, semua kakitangan diwajibkan mengisi Penilaian Diri Harian Covid-19 setiap hari bertujuan membolehkan tindakan segera diambil sekiranya terdapat kakitangan terdedah kepada risiko.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memaklumkan seramai 287 pelajar UUM disaring sebelum seorang penuntut perempuan disahkan positif Covid-19, manakala seorang lagi penuntut akan disaring semula.

Kedah sebelum ini tidak mencatat sebarang kes Covid-19 positif sejak 28 hari lalu, dengan kes berkenaan menyebabkan status negeri hijau bertukar menjadi kuning ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 5:21 PM