Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup kampus utamanya di Sintok, Kedah sejak malam tadi susulan penutut baru pulang dari Sabah dikesan positif Covid-19.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, penuntut berkenaan sebelum ini terbabit dalam latihan Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan tiba di kampus lebih awal.

Katanya, selepas jangkitan itu dikesan universiti mengambil langkah perlu untuk mengawal penularan dengan melakukan penutupan serta merta dan melarang aktiviti keluar masuk kampus.

"Kumpulan ini tidak besar hanya membabitkan mereka yang terbabit dalam latihan PALAPES. Kementerian Kesihatan (KKM) pun sudah dimaklumkan mengenai hal ini untuk menentukan langkah seterusnya.

"Kami memberi kerjasama sepenuhnya dan akan ikuti semua SOP (prosedur operasi standard) yang disyorkan oleh KKM, NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) termasuk langkah kuarantin wajib yang perlu kepada semua individu yang terbabit," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, buat masa ini, semua penuntut baharu yang mahu mendaftar tidak dibenarkan memasuki kampus sebaliknya melakukan pendaftaran dalam talian.

"Sesi pembelajaran pun kita akan laksana dalam talian. Tidak ada yang dibenarkan untuk pulang ke kampus. Selepas semua reda dan terkawal baru kita akan maklumkan semula kepada pelajar bila tarikh kemasukan ke kampus dibenarkan," katanya.

Difahamkan penutut itu tiba di UUM pada 20 September lalu, iaitu sebelum kerajaan mengeluarkan arahan mewajibkan semua individu yang baru pulang dari Sabah menjalani ujian calitan sebaik tiba dan kuarantin diri di kediaman masing-masing.

PENGAWAL keselamatan meletakkan notis penutupan sementara UUM selepas seorang penuntutnya dikesan positif Covid-19. FOTO Amran Hamid
PENGAWAL keselamatan meletakkan notis penutupan sementara UUM selepas seorang penuntutnya dikesan positif Covid-19. FOTO Amran Hamid

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali sebelum ini memaklumkan kampus itu menangguhkan kemasukan penuntut dari Sabah sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, penangguhan itu termasuk pendaftaran pelajar dari kawasan zon merah di negeri lain, yang dibuat berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 di beberapa negeri selain bimbang dengan risiko keselamatan penuntut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 1:03 PM