UUM.
UUM.
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak membenarkan pelajarnya keluar dan masuk kampus kecuali dengan kebenaran khas sebagai langkah pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali, berkata kebenaran khas itu hanya boleh dikeluarkan beliau, Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pengarah Pusat Penginapan Pelajar (SAC) sahaja.

Katanya, borang keluar dan masuk kampus boleh didapati di Kaunter SAC pada waktu pejabat sahaja.

"Pelajar juga tidak dibenarkan ke tempat yang berisiko iaitu zon merah atau berjumpa dengan individu yang bergejala.

"Waktu keluar dan masuk kampus dengan kebenaran khas hanya antara 9 pagi hingga 7 malam sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hendrik berkata, semua perkhidmatan kafeteria di UUM hanya dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang, manakala premis perniagaan seperti pasar raya, kedai runcit dan perkhidmatan lain dibuka bermula antara 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, penghantaran makanan dari luar, bas awam dan e-hailing hanya dibenarkan sehingga ke pintu utama kampus sahaja.

Oktober lalu, seramai 26 pelajar UUM disahkan positif Covid-19 membabitkan Kluster Bah Sintok, menyebabkan 246 pelajar lain terpaksa dikuarantin dan menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 UUM.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:58 AM