GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
M Hifzuddin Ikhsan


PENUNTUT semua universiti awam di Zon Utara dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai Selasa ini.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihaknya dilantik Kementerian Pengajian Tinggi bagi merancang, menyelaras dan mengurus penghantaran pulang semua penuntut terbabit.

Katanya, pergerakan pulang akan bermula pada 28 April ini membabitkan perjalanan fasa pertama ke Lembah Klang sebelum diikuti perjalanan fasa kedua ke destinasi sama pada 12 Mei.

"Bagi pergerakan pulang pelajar ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang pula akan dibuat pada 29 April sebelum penuntut berasal dari negeri pantai timur bergerak pulang pada 2 Mei ini.

"Pergerakan penuntut pulang ke Perak akan dibuat pada 5 Mei dan bagi penuntut ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula akan bergerak pada 9 Mei," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PROF Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.  FOTO Saifullizan Tamadi
PROF Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani. FOTO Saifullizan Tamadi

Mengulas lanjut, Ahmad Bashawir berkata, bagi penuntut Sabah dan Sarawak, mereka dijangka bergerak pulang pada awal Mei, namun tarikhnya akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Muhammad Nazmi Akmal Rahman berkata, lebih 3,000 pelajar universiti berkenaan perlu mematuhi arahan perjalanan ditetapkan kerajaan.

"Walaupun semua pelajar tidak sabar untuk pulang, tetapi kami akan mengikut arahan termasuk jadual yang sudah ditetapkan secara berperingkat.

"Kami difahamkan, terdapat syarat ketat membabitkan perjalanan menggunakan bas apabila penuntut tidak boleh duduk bersebelahan selain yang pulang menggunakan kenderaan sendiri juga tidak boleh berkongsi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:13 PM