SEBAHAGIAN pensyarah dari Kolej (ERT) Vokasional Azizah Johor Bahru menjahit PPE untuk disumbangkan kepada petugas baris hadapan. FOTO Ihsan Kolej ERT Vokasional Azizah
SEBAHAGIAN pensyarah dari Kolej (ERT) Vokasional Azizah Johor Bahru menjahit PPE untuk disumbangkan kepada petugas baris hadapan. FOTO Ihsan Kolej ERT Vokasional Azizah
Omar Ahmad

TENAGA pengajar Kolej (ERT) Vokasional Azizah Johor Bahru berganding bahu menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pengarahnya, Saripah Husin, 53, berkata, dia bersama enam pensyarah dan guru lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak dalam bidang jahitan, Aminuddin Idris menyiapkan PPE berkenaan sejak minggu lalu.

“Prosedur perlu dipatuhi terutama dalam menyiapkan PPE yang mensyaratkan jumlah staf tidak boleh melebihi 10 orang.

“Panduan lain antaranya ialah petugas mesti sihat dan tidak mengalami batuk, demam atau jauh sekali mempunyai gejala Covid-19.

“Kami sudah menyiapkan 30 set PPE dan sedang menunggu kain untuk jahitan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin, 25, bangga dan bersyukur dapat membantu petugas barisan hadapan.

“Saya cukup teruja apabila dimaklumkan PPE ini akan dipakai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami hanya mahu membantu dan saya harap, lebih banyak PPE dapat disiapkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 6:28 PM