Nurul Amanina Suhaini


BIARPUN tidak dapat pulang ke kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) mengambil kesempatan menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pelajar semester dua jurusan Diploma Fesyen Pakaian, Nurul Sufia Mohd Asri, 21, berkata selepas dimaklumkan oleh pensyarah yang petugas seumpama itu amat memerlukannya, dia secara sukarela menyertai usaha berkenaan.

"Saya bersama rakan tidak pulang ke rumah. Walaupun kami disediakan kolej kediaman, saya ingin juga menyumbang dan secara sukarela mengeluarkan tenaga bantu menghasilkan baju PPE.

"Ada 14 pelajar yang dilatih untuk menghasilkan pakaian itu. Setiap pelajar disasarkan bagi menyiapkan 10 pasang baju dalam tempoh satu hari," katanya ketika ditemui di Makmal Jahitan, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, PIS, di sini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik PIS, Normala Abdullah berkata, inisiatif yang bermula sejak 8 April lalu, sehingga kini pihaknya sudah menghasilkan lebih 1,000 baju PPE untuk kegunaan golongan sasar.

"Secara keseluruhan, 56 yang terdiri daripada kakitangan sokongan, pensyarah, alumni dan pelajar yang terbabit secara langsung menghasilkannya untuk kegunaan kakitangan seperti Hospital Kota Tinggi dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Kami turut mendapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) termasuk koperasi PIS, selain sumbangan itu digunakan bagi pembelian mesin, getah dan benang," katanya.

PENSYARAH bersama pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan ketika ditemui di Makmal Jahitan, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENSYARAH bersama pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan ketika ditemui di Makmal Jahitan, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:40 PM