MAJMIN (kiri) melihat proses menjahit PPE yang dilakukan pensyarah di salah sebuah bengkel di  Kolej Vokasional Sungai Petani 2. FOTO Nor Farhani Che Ad
MAJMIN (kiri) melihat proses menjahit PPE yang dilakukan pensyarah di salah sebuah bengkel di Kolej Vokasional Sungai Petani 2. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 15 pensyarah fesyen Kolej Vokasional Sungai Petani 2, tidak melepaskan peluang menjahit peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada petugas kesihatan.

Mereka juga bertungkus lumus menyiapkan baju operasi (OT attire) untuk kegunaan klinik kesihatan ketika menjalankan saringan ke atas pesakit Covid-19.

Pengarahnya, Majmin Md Noor berkata, usaha itu dimulakan sejak tiga hari lalu selepas pihaknya mendapat bekalan kain daripada Yayasan Sayang dan Persatuan Sukarelawan Kedah.

“Melihat pengorbanan petugas kesihatan sebelum ini yang terpaksa menjahit sendiri PPE digunakan mereka, kami berasa terpanggil untuk berganding bahu menjahit peralatan itu.

“Kalau ikutkan ramai lagi pensyarah yang ingin turut serta dalam projek ini, namun, kami akur dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui di Sungai Petani, hari ini.

Majmin berkata, pihaknya mensasarkan 600 set PPE dan 100 pasang baju operasi dapat disiapkan sebelum diagihkan kepada petugas kesihatan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, peralatan itu dijangka diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani dan beberapa klinik kesihatan di sekitar Kedah.

Katanya, sebanyak 200 set PPE dan lebih 50 pasang baju operasi berjaya disiapkan pihaknya setakat ini.

“Kita terpaksa mengambil masa untuk menyiapkan baju operasi kerana proses menjahit agak rumit.

“Namun, sepanjang proses menyiapkan dua kelengkapan perubatan ini, semua pensyarah memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 5:46 PM