KETUA Jajahan Machang, Wan Mohd Suhaimi Wan Mustapha (dua kiri) memcuba pakaian perlindungan diri (PPE) yang diringi oleh Pengarah KEMAS Negeri, Hashim Alang Abdul Hamid (kiri) ketika lawatannya di Bengkel Jahitan Kemas Machang di Kampung Joh, Labok,  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Jajahan Machang, Wan Mohd Suhaimi Wan Mustapha (dua kiri) memcuba pakaian perlindungan diri (PPE) yang diringi oleh Pengarah KEMAS Negeri, Hashim Alang Abdul Hamid (kiri) ketika lawatannya di Bengkel Jahitan Kemas Machang di Kampung Joh, Labok, FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 17 sukarelawan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Machang menyumbang tenaga dengan menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengarah Kemas Kelantan Hashim Alang Abdul Hamid berkata, mereka terdiri tenaga pengajar kelas jahitan dan guru tadika memulakan projek itu sejak 9 April lalu.

Katanya, setakat ini mereka sudah menyiapkan sebanyak 440 penutup kaki dan kasut bersaiz besar untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan Pejabat Kesihatan Jajahan Machang.

“Bermula hari ini, sukarelawan ini dalam proses menjahit dan menyiapkan pakaian khas atau gaun sebanyak 300 unit dalam jangka masa terdekat.

“Bagi menyiapkan kesemua kelengkapan itu, mereka menjahit di Bengkel Jahitan Kampung Kemuning dan Kampung Joh selain membawanya pulang untuk disiapkan di rumah masing-masing,” katanya.

Belian berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses menjahit PPE di Bengkel Jahitan Kemas Machang di Kampung Joh, Labok, Machang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jajahan Machang, Wan Mohd Suhaimi Wan Mustapha; Pengarah Hospital Machang, Dr Sanusi Mat Ripin; Pegawai Kesihatan Daerah Machang, Dr Hazura Mat Zubir; dan Pegawai Kemas Daerah Machang, Mohd Hafiz Mohamad Rafee.

Terdahulu, Wan Mohd Suhaimi menyerahkan PPE kepada Pengarah Hospital Machang dan juga Pegawai Kesihatan Daerah Machang.

Hashim berkata, sukarelawan Kemas bersedia membantu pihak hospital dengan menyumbang kemahiran menjahit kelengkapan PPE termasuk sarung kaki dan sarung kasut selain gaun.

“Sumbangan ini juga sebahagian usaha Kemas membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika menangani wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan, Norhayati Mohd Arshad, 49, berkata dia mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk menyiapkan PPE berkenaan.

“Dalam sehari, saya bersama empat lagi rakan bertungkus-lumus menjahit PPE ini dan dalam sehari mampu menyiapkan 22 set PPE.

“Ini sahaja kami boleh bantu bagi meringankan bebanan pasukan barisan hadapan yang nyata memang amat memerlukan pakaian ini untuk penjagaan keselamatan mereka semasa bertugas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 2:21 PM