ANTARA pensyarah yang menyiapkan PPE. FOTO Ihsan Kolej Komuniti Sungai Petani
ANTARA pensyarah yang menyiapkan PPE. FOTO Ihsan Kolej Komuniti Sungai Petani
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


MESKIPUN sibuk melakukan pengajaran dan pembelajaran atas talian bersama pelajar, namun 20 pensyarah dari Kolej Komuniti (KK) Sungai Petani dan KK Baling tetap mangambil tanggungjawab menyiapkan set peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas barisan hadapan di Kedah.

Pengarah KK Sungai Petani, Khairul Anuar Ishak, berkata projek yang bermula 23 April itu membabitkan 20 sukarelawan terdiri daripada pensyarah jahitan, kulinari, automotif dan pengajian am.

"KK Sungai Petani dijadikan pusat penyediaan PPE berikutan kami mempunyai bengkel jahitan selain majoriti sukarelawan tinggal di sekitar Sungai Petani.

"Bukan semua sukarelawan mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan, namun mereka masih ingin menyumbangkan tenaga mereka dengan membantu dalam proses melipat dan membungkus PPE," katanya.

Khairul berkata, sehingga kini sebanyak 2,000 set PPE sudah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) serta klinik kesihatan sekitar daerah Kuala Muda.

Katanya, pihaknya sedang berusaha menyiapkan kira-kira 2,000 set PPE lagi yang dijangka siap selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Bagi fasa 2 ini, kami merancang menyerahkan kepada beberapa lagi hospital dan klinik kesihatan di sekitar negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata, projek jahitan itu menggunakan bahan yang disumbangkan Yayasan Hasani, Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Sedekah Jariah Ustaz Ghani Harun, Persatuan Sayang dan Dana Covid Team S&S.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 10:35 AM