SAIFUL Yazan melihat Nur Afia menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) di rumahnya di Kampung Kepis Hilir, Johol. FOTO AMRAN YAHYA.
SAIFUL Yazan melihat Nur Afia menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) di rumahnya di Kampung Kepis Hilir, Johol. FOTO AMRAN YAHYA.
Amran Yahya


KEHEBATAN kanak-kanak berusia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan barisan hadapan harus dipuji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johol, Saiful Yazan Sulaiman berkata, Nur Afia Qistina diibaratkan sebagai sebutir permata dan mempunyai bakat besar di dalam bidang jahitan.

"Saya amat kagum dengan bakat semulajadi Nur Afia Qistina. Mungkin ketika ini ramai dalam kalangan rakan sebayanya sedang leka melayan 'gedjet', dia mempunyai tanggungjawab menyiapkan PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

"Saya difahamkan bukan Nur Afia Qistina sahaja terbabit dalam tugas ini, malah kedua orang tuanya serta dua adiknya berusia empat dan dua tahun turut terbabit menjahit PPE ini.

"Saya yakin ini semua mencerminkan asuhan dan didikan ibu dan ayah mereka. Walaupun ibunya mengambil tempahan menjahit pakaian secara kecil-kecilan, dia mampu mendidik seorang anak yang berbakat besar dalam bidang jahitan.

"Insya-Allah, suatu hari nanti Nur Afia Qistina berjaya dalam bidang diceburi dan mampu mengharumkan nama keluarga serta masyarakat Johol," katanya.

Saiful Yazan berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan duit raya serta kurma di kediaman keluarga terbabit di Kampung Kepis Hilir, Johol, Kuala Pilah, semalam.

Sementara itu, ibu Nur Afia Qistina, Hasnah Hud, 38, berkata, sehingga kini sebanyak 130 helai PPE disiapkan dan diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Sekarang kami kehabisan bahan dan masih menunggu penghantaran daripada pihak HTAN. Buat masa ini saya serta Nur Afia Qistina sedang menyiapkan tempahan baju raya dari pelanggan," katanya.

Pada 22 April lalu Harian Metro menerusi ruangan Wanita Metro (WM) menyiarkan kisah si cilik mengisi waktu senggang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:23 PM