PELAJAR lepasan Giat Mara sedang menjahit PPE untuk disumbangankan kepada lima buah hospital di negeri Perak.  FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
PELAJAR lepasan Giat Mara sedang menjahit PPE untuk disumbangankan kepada lima buah hospital di negeri Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Balqis Jazimah Zahari


PUSAT GiatMARA Perak berjaya menghasilkan sebanyak 1,783 set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Pengarah GIATMARA Perak, Dr Ismadi Ishak berkata, seramai 19 lepasan dari lima Pusat GiatMARA iaitu di Parit Buntar, Bukit Gantang, Bagan Serai, Gerik dan Gopeng terbabit dalam projek itu.

Katanya, mereka turut berganding bahu dengan 47 usahawan GiatMARA dalam bidang jahitan dan pakaian sebagai inisiatif membantu petugas barisan hadapan dalam mengekang wabak Covid-19.

“PPE yang dihasilkan itu dihantar ke Hospital Teluk Intan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Sungai Siput dan Hospital Gerik selain kepada badan bukan kerajaan (NGO) Medical Mythbusters Malaysia.

“Walaupun sumbangan ini kecil, tetapi kami tetap mahu menyumbang kepada barisan hadapan kita berdasarkan kemahiran yang dimiliki,” katanya ketika ditemui di Pusat GiatMARA Gopeng, hari ini.

Ismadi berkata, projek jahitan yang bermula sejak 23 Mac lalu menggunakan semua bahan disediakan oleh pihak hospital dan NGO manakala pihaknya menyediakan kemahiran jahitan.

Katanya, kesemua PPE yang dihasilkan mengikut spesifikasi dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, usahawan jahitan Rabuna Zaini, 46, berkata walaupun masih menyiapkan tempahan 200 pasang baju raya pelanggan, namun dia mahu berbakti dengan menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan berkenaan.

“Kasihan melihat ‘frontliner’, jadi saya mahu membantu menjahit PPE ini walaupun sedikit tetapi ada sumbangan kita,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:27 PM