RANGKA motosikal
RANGKA motosikal
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA lelaki yang aktif mencuri motosikal dan ragut di daerah ini tumpas apabila mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, 27 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu dikesan sering melakukan ragut selain mencuri motosikal di tepi jalan di sekitar daerah ini.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek menemui pelbagai barangan digunakan untuk mencuri motosikal dan barang dipercayai hasil kegiatan ragut.

“Susulan tangkapan suspek, polis menemui tujuh rangka motosikal dibuang di dalam sungai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, suspek akan menjual alat ganti dileraikan daripada motosikal dicuri.

“Suspek mensasarkan motosikal jenis Yamaha 135 LC, Honda Ex5 dan KTM Duke yang diparkir di tepi jalan, selain itu kedua-dua suspek juga aktif meragut mangsa di tepi jalan.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan samun,” katanya.

Menurutnya, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes curi motosikal di kawasan Sungai Buloh, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur.

“Bagi kes ragut polis dapat menyelesaikan 20 kes ragut di daerah Sungai Buloh dan Petaling Jaya.

“Kedua-dua suspek direman sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:13 PM