Mohd Azam Shah Yaacob


BERPURA-PURA mahu membeli nasi lemak sebelum menyamun beg tangan peniaga wanita.

Itu yang dilakukan penjenayah dalam kejadian di hadapan sebuah restoran mamak di Saujana Utama, Sungai Buloh 7.30 pagi hari ini.

Kejadian itu menyebabkan peniaga berusia 26 tahun terbabit mengalami kerugian wang tunai RM80 hasil jualan serta tiga telefon bimbitnya yang dilarikan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian itu, suspek yang menaiki motosikal ke gerai wanita terbabit untuk membeli nasi lemak.

Katanya, ketika mangsa menyiapkan nasi lemak dipinta, tiba-tiba suspek menyambar beg tangan yang diletakkan di meja gerai itu sebelum memecut motosikal.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat mengecam wajah suspek serta nombor pendaftaran motosikal dinaiki.

“Mangsa membuat laporan polis selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shafa’aton, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan polis kini sedang memburu suspek berkenaan.

Sebelum ini, kejadian berkenaan turut tular di media sosial meminta orang ramai terutama peniaga diminta berhati-hati jika didatangi lelaki menunggang motosikal jenis Honda Wave.

Lelaki itu yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan berpura-pura mahu membeli makanan sebelum menyamun barangan milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:16 PM