SHAFA'ATON (tengah) menunjukkan barang yang dirampas ketika serbuan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
SHAFA'ATON (tengah) menunjukkan barang yang dirampas ketika serbuan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BINA bengkel di tepi rumah untuk meleraikan motosikal yang dicuri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu modus operandi kumpulan Satay yang aktif dengan kegiatan mencuri motosikal dan mengedar dadah di daerah ini.

Namun kegiatan itu berjaya dihidu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh selepas menahan enam suspek dalam empat serbuan berasingan, 16 hingga 29 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan, Shafa'aton Abu Bakar berkata, bertindak atas maklumat pihakny menyerbu empat rumah di Kampung Baru Sri Kundang, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Paya Jaras Dalam dan Taman Matang Jaya.

"Dalam serbuan itu polis berjaya menahan enam individu berusia 22 hingga 49 tahun yang aktif mencuri motosikal sejak setahun lalu.

"Serbuan turut menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu seberat 12.45 gram dan 48 paket lutsinar berisi heroin seberat 44.25 gram," katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan suspek membawa kepada penemuan 13 rangka motosikal yang dibuang di Tasik Biru, Kampung Melayu Sri Kundang.

"Siasatan awal mendapati semua suspek meleraikan motosikal dan akan menjual komponen yang dileraikan.

"Semua suspek juga didapati mempunyai rekod lampau dalam kegiatan jenayah dan dadah, ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methaphetamine," katanya.

Menurutnya, lima suspek direman sehingga 3 Julai ini manakala seorang suspek diberi jaminan polis selepas selesai siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 1:48 PM