KEMALANGAN maut membabitkan warga emas. FOTO Ihsan Pembaca.
KEMALANGAN maut membabitkan warga emas. FOTO Ihsan Pembaca.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara, berhampiran Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi, mangsa Rawi Abdullah, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menunggang berseorangan di lorong kedua lebuh raya berkenaan terbabas ke lorong kiri.

“Mangsa kemudian terjatuh dan mengalami pendarahan teruk bahagian kepala.

“Ketika kejadian keadaan cuaca baik namun, setakat ini tidak ada saksi bebas atau kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 3:52 PM