MENTERI Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong. FOTO YUN MIKAIL
MENTERI Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail

SEBANYAK 148 pengesahan dikeluarkan Jabatan Pertanian Sabah Daerah Ranau kepada pihak berkaitan bagi mengedarkan sayur-sayuran di seluruh negeri.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata, pemberian pengesahan berkenaan membabitkan 58 pengusaha, pemborong dan peraih di daerah terbabit.

“Pengesahan ini sudah mula dikeluarkan sejak minggu pertama dan kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, jabatan sama turut mendaftarkan 184 kenderaan untuk mendapatkan pelekat khas pergerakan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Junz berkata demikian bagi mengulas gesaan Ketua Unit Peladang Kampung Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Jailin Nazrin.

Jailin menyatakan bekalan sayur di luar daerah Kundasang mengalami masalah sejak pelaksanaan PKP berikutan pemborong sayur daripada luar Kundasang tidak dibenarkan masuk.

Menurutnya, sayur-sayuran adalah barangan keperluan rakyat yang memerlukan pengeluaran serta penjualan secara berterusan.

Junz berkata, pihak daerah bertanggungjawab dalam memastikan PKP dipatuhi, termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghalang pemborong sayur Kundasang atau pengeksport sayur tanah tinggi ke Brunei, Sarawak atau Semenanjung.

“Kementerian, Pejabat Daerah Ranau, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu sentiasa bekerjasama dengan mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran sayur-sayuran bagi menangani masalah pemasaran sayur tanah tinggi Kundasang.

“Kita dimaklumkan FAMA Sabah giat memantau kelancaran pergerakan sayur tanah tinggi ke pasaran di seluruh negeri termasuklah Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu selain ke Sarawak melalui Sindumin.

“FAMA Sabah juga sudah mengurus penghantaran 45 metrik tan sayur-sayuran ke Selayang, Kuala Lumpur dan setakat ini tiada halangan yang dihadapi,” katanya.

Menurut beliau, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian Sabah akan meneruskan pemantauan dan penyelarasan aktiviti pemasaran berkaitan sayur tanah tinggi khususnya di Kundasang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 8:41 PM