Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie Apdal.
BERNAMA

SABAH akan mengambil beberapa pendekatan komprehensif dan holistik dalam mengurus tadbir sistem bekalan serta pengagihan sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang bagi mengelakkan berlakunya masalah lambakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah telah diminta mengambil perhatian perkara itu termasuk melihat keperluan petani terjejas pendapatan atau mengalami kerugian berikutan sayur yang dituai tidak terjual dalam tempoh PKP.

“Kementerian terbabit diminta mentadbir dengan baik perkara ini secara keseluruhan menggunakan pendekatan komprehensif kerana berkemungkinan akan berlaku lebihan bekalan kerana ada petani yang sudah menanam sayur-sayuran mereka.

“Kita tidak boleh menggalakkan petani kita seramai mungkin menanam sayur-sayuran dalam keadaan hari ini kerana kita tahu permintaan tidak ada, sama ada daripada pasaran domestik mahupun eksport. Justeru, kita perlu tangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Joachim juga bertanya apakah bantuan khusus diberikan kepada para petani Kundasang terjejas kerana hasil tanaman yang sudah dituai tidak dapat dijual dalam tempoh PKP.

Menyedari hakikat itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut memberi sumbangan wang tunai kepada golongan berkenaan selain turut menyediakan bantuan pinjaman kewangan dengan faedah sifar kepada semua petani bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor pertanian selepas PKP ditamatkan kelak.

Mengulas hasil tanaman sayur-sayuran yang telah dikeluarkan, Mohd Shafie berkata MAFI Sabah diminta bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah untuk menyenaraikan pasar raya beroperasi bagi membolehkan bekalan sayur-sayuran itu dihantar ke sana.

“Data ini diperlukan supaya pasar raya boleh dihubungkan terus kepada petani. Tidak perlu ada orang tengah terlalu ramai membeli bekalan sayur-sayuran di Kundasang untuk dihantar ke sektor peruncitan kerana pergerakan perlu dikurangkan dalam tempoh ini dalam usaha membendung Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) berkata kerajaan negeri mengambil perhatian dan tindakan untuk memastikan malim gunung di Trus Madi turut mendapat bantuan Covid-19 disediakan kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah bagi mendapatkan senarai malim gunung di Trus Madi termasuk jurulatih menyelam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 3:14 PM