RONALD (dua kanan) membuat lawatan pameran bekalan harian selepas majlis MoU. FOTO Azhar Ramli
RONALD (dua kanan) membuat lawatan pameran bekalan harian selepas majlis MoU. FOTO Azhar Ramli
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Walaupun pelbagai usaha dilakukan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengurangkan kenaikan harga makanan namun faktor 'orang tengah' tetap mempengaruhi rantaian makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, semua pihak perlu bekerjasama membantu penguatkuasa mengurangkan pengaruh orang tengah termasuk kerjasama daripada petani, peternak dan nelayan.

Akuinya, faktor orang tengah sememangnya wujud dalam rantaian agromakanan yang mengambil peluang mempengaruhi bekalan pasaran.

"MAFI sudah menyediakan pelbagai program seperti pemberian dana yang disalurkan melalui AgroBank, Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional), jadi petani, penternak dan nelayan perlu menggunakan dana itu dan tidak bergantung kepada pengaruh orang tengah.

"Jadi usaha mengurangkan pengaruh orang tengah ini memerlukan usaha bersepadu bukan saja di peringkat penguatkuasaan tetapi juga dalam kalangan petani, penternak dan nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung antara anak syarikat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan

(FAMA), FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) dan pengusaha kapal tuna berdaftar, syarikat Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) Group di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif FAMACorp, Faidz Afizi Mohamed dan Pengarah Eksekutif Syarikat Alpha Ocean Resources, Simon Pua.

Ronald berkata, keadaan bertambah buruk ketika harga barangan pertanian contohnya racun, makanan ternakan serta baja meningkat sehingga menyebabkan kos penghasilan produk agromakanan negara meningkat.

"Orang tengah ini mempengaruhi harga pasaran dengan mengambil peluang menaikkan harga bekalan ini di pasaran, sebab itu kita melihat isu kenaikan harga, barangan bukan saja dari perspektif pengguna tetapi juga petani, penternak, nelayan kerana banyak pihak terkesan.

"Jadi semua pihak harus bekerjasama dan bertanggungjawab bukan saja memastikan kebajikan petani, penternak, nelayan terjaga, tetapi memelihara kebajikan pengguna akhir," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan, agensi kerajaan yang menguruskan pelbagai program membabitkan orang tengah dikatakan tidak berkesan, beliau menjelaskan ia adalah sebaliknya.

"Bukan kerana rantaian pemasaran seperti FAMA, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mengelolakan pemasaran melalui pasar borong, pusat pengumpulan hasil, pasar tani dan sebagainya tidak berkesan tetapi disebabkan petani, penternak dan nelayan masih bergantung kepada orang tengah.

"Kerajaan melalui agensi ini berusaha mengurangkan pengaruh orang tengah melalui lebih 100 pusat pengumpulan di seluruh dibina seluruh negara, pasar tani, pasar tamu, dan sebagainya dengantujuan semata-mata mengurangkan pengaruh orang tengah.

"Walaupun pelbagai usaha dilakukan, kita masih melihat orang tengah mempengaruhi rantaian bekalan, jadi ia memerlukan usaha berterusan agar langkah dan tindakan agensi mengurangkan rantaian pemasaran produk agromakananberjaya," katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, FAMA dijangka membekalkan produk agromakanan dengan nilai potensi sebanyak RM3 juta atau RM50,000 bagi setiap kapal kepada 60 kapal C3 yang berlayar ke Lautan Hindi pada tahun depan.

"Bekalan stok bekalan makanan itu dijangka dapat mewujudkan ruang perniagaan baharu khususnya kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan FAMACorp).

"FAMACorp julung kalinya mengadakan perjanjian persefahaman dengan AORB Group yang bakal mewujudkan ruang pekerjaan baharu bagi agensi ini dengan perbekalan barangan makanan basah, ayam, ikan, sayur-sayuran cili dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 5:39 PM