MOHD Hafiz (tiga dari kiri) dan Datuk Sawalludin melihat hasil tani yang diterima oleh PPK Kluang di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian pertubuhan itu. FOTO Adnan Ibrahim
MOHD Hafiz (tiga dari kiri) dan Datuk Sawalludin melihat hasil tani yang diterima oleh PPK Kluang di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian pertubuhan itu. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Pusat pengumpulan hasil pertanian yang diwujudkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang tidak terhad kepada petani di dalam daerah ini sahaja malah untuk hasil pertanian di seluruh negeri Johor.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang, Mohd Hafiz Azmi berkata, pusat pengumpulan yang sudah beroperasi sejak April lalu di Taman Perdana dekat sini akan dibuka setiap hari mulai Oktober ini berbanding tiga hari seminggu sebelum ini.

Katanya, sehingga kini hanya 70 petani yang menghantar hasil tani masing-masing ke pusat pengumpulan itu dan ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi bekalan yang perlu dibekalkan kepada pasar raya.

"Oleh itu, semua petani di dalam negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk memasarkan hasil tanaman mereka boleh membawanya terus ke pusat kami yang dibuka seawal 8 pagi setiap hari.

"Melalui cara ini, semua petani bukan sahaja tidak lagi perlu risau tentang hasil tani mereka tidak boleh dijual namun turut mendapat harga mengikut pasaran semasa dari kami," katanya.

Mohd Hafiz Azmi berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama dengan Pasaraya Songmart sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang Kali ke 38 di Taman Perdana dekat sini hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan majlis adalah Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad.

Hadir sama adalah Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Ali Shikh Ahmad, Pengarah Eksekutif Pasaraya Songmart, Adeline Tan dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang kawasan Kluang, Misbah Misran.

Menurut Mohd Hafiz, setiap hari pihaknya memerlukan kira-kira 30 jenis sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kailan, kacang panjang, terung, cili, nanas MD2, tembikai wangi (rock melon), jagung dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:55 PM