DATUK Azulita Salim (bertudung putih) beramah mesra dengan peserta Program Khas Dapur Peladangnita 'Moh Masak Weh'. FOTO Roselan Ab Malek
DATUK Azulita Salim (bertudung putih) beramah mesra dengan peserta Program Khas Dapur Peladangnita 'Moh Masak Weh'. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta meningkatkan pengeluaran hasil untuk pasaran tempatan sekali gus dapat menambah stok dan mengurangkan tekanan kenaikan harga makanan.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata, pihaknya peka dengan situasi kenaikan harga sayuran dan ternakan dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 dan melaksanakan pelbagai usaha meningkatkan pengeluaran dan pemasaran.

Menurutnya, pihaknya sedar antara faktor kenaikan harga sayur, ayam dan bahan mentah makanan lain berpunca daripada peningkatan harga baja dan racun tetapi ia tidak menjejaskan pengeluaran hasil tani ahli.

"Bagaimanapun, program tanaman ladang termasuk ternakan di bawah LPP tetap diteruskan di bawah PPK dan perlu meningkatkan hasil pengeluaran bagi mengurangkan tekanan kenaikan harga makanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khas Dapur Peladangnita 'Moh Masak Weh' anjuran LPP dan PPK Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan dan Pengerusi Peladangnita Pahang, Datuk Nazilah Abd Latif.

Azulita berkata, LPP juga terus menyokong aktiviti pemasaran yang dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) sebagai pelengkap yang membantu usahawan PPK.

Beliau berkata, selain FAMA , pengusaha ladang PPK juga memasarkan hasil melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pusat Pengedaran Peladang, Freshmart Peladang, Pusat Pengumpulan Hasil Peladang, pasar borong dan Pasar Tani.

"Strategi pasaran ini untuk meningkatkan pendapatan peladang dengan menyediakan saluran pemasaran yang terus kepada FAMA dan PPK dengan lebih berkesan bagi menghindarkan kartel atau orang tengah yang menyumbang kenaikan harga hasil pertanian.

"Kita juga menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat penjenamaan semula Peladang Outlet membantu merancakkan lagi aktiviti pemasaran produk PPK berasaskan kepesatan teknologi," katanya.

Menurutnya, Peladang Outlet menjadi keperluan kepada LPP dan juga agensi pengeluar lain untuk menjenamakan semula saluran pemasaran supaya mudah dikenali, dipercayai dan diyakini sekali gus mengelakkan pengaruh orang tengah.

Katanya, kenaikan harga barang makanan terutamanya sayur dan ayam adalah bersifat sementara dan akan pulih dalam masa terdekat berasaskan kerjasama libat urus antara KPDNHEP dan MAFI yang mencari jalan penyelesaian.

#kw Peladang, LPP, PPK, tingkat, pengeluaran, harga, FAMA, MAFI, Jerantut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:57 PM