MUSA Awang. FOTO arkib NSTP
MUSA Awang. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian bagi membantu umat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah mendapatkan khidmat nasihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Musa Awang berkata, ini kerana semua mahkamah syariah seluruh negara sudah menangguhkan operasi dan prosiding mereka buat sementara waktu sebagai mematuhi PKP.

Katanya, dalam tempoh itu, berlaku konflik dalam rumah tangga masyarakat Islam antaranya lafaz perceraian luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak, isu berhubung nafkah anak, berlaku kematian suami atau isteri atau waris yang membawa kepada tuntutan harta sepencarian atau faraid selain keganasan domestik dalam rumah tangga.

“Oleh itu, pihak yang terbabit perlu mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada peguam syarie yang bertauliah.

“Ia boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 011-3701-9155 atau emel ke [email protected].

“Mereka boleh mendapatkan senarai nama peguam syarie yang juga ahli-ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawang www.pgsm.org.my,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Musa berkata, khidmat konsultasi yang diberikan melalui medium berkenaan adalah percuma namun jika orang ramai ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, ia akan dipanjangkan kepada peguam syarie yang terdiri daripada seramai lebih 700 ahli PGSM di seluruh negara yang berada dalam jarak 10 kilometer dari kediaman mereka.

Menurutnya, program berkenaan akan tetap diteruskan walaupun selepas PKP ditamatkan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 5:55 PM