Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO arkib NSTP
Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO arkib NSTP
Muhd Izawan Baharin


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengesan ada pihak menawarkan khidmat nasihat guaman syarie dengan bayaran tertentu sedangkan mereka tidak mempunyai tauliah yang sah.

Presiden PGSM Musa Awang berkata, pihaknya juga mengesan ada orang perseorangan atau syarikat menawarkan pakej membawa pasangan bernikah ke luar negara dengan bayaran tertentu dan membantu mendaftarkan pernikahan di Mahkamah Syariah.

“Sehubungan itu, PGSM menyeru masyarakat Islam supaya tidak mendapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana individu atau syarikat yang bukan daripada kalangan peguam syarie bertauliah.

“Mana-mana individu yang mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie atau menyediakan dokumen tuntutan di Mahkamah Syariah dengan bayaran tertentu berkemungkinan bukan peguam syarie yang sah kerana menurut Etika No. 41 Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No. 4 Tahun 2002 menyebut seorang peguam syarie tidak boleh mengiklankan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, PGSM menasihatkan orang awam yang berurusan di Mahkamah Syariah agar berhati-hati dan tidak berurusan dengan individu yang bukan peguam syarie bertauliah.

“Orang awam boleh menyemak dan mendapatkan senarai nama peguam syarie bertauliah di kaunter mahkamah, di laman web Mahkamah Syariah yang berkenaan atau boleh menghubungi PGSM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 6:41 PM