Sulaiman Md Ali.
Sulaiman Md Ali.
Oleh Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Melaka mengambil inisiatif menyediakan program khidmat nasihat dan rundingan syariah secara percuma kepada orang ramai bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program terbabit diwujudkan bagi membantu orang ramai khususnya pasangan Islam di negeri ini mendapatkan pandangan profesional berkaitan isu kekeluargaan mengikut hukum syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan yang disediakan melalui aplikasi Whatsapp, panggilan telefon atau bersemuka melalui temujanji kepada seramai 33 orang ahli Peguam Syarie yang berdaftar di bawah PGSM Melaka.

"Program terbabit yang akan berakhir pada 31 Disember depan, dilaksanakan atas tujuan murni iaitu untuk membantu orang ramai terutama yang tinggal di negeri ini yang berkemungkinan mempunyai masalah dan konflik rumah tangga khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti PGSM Melaka dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang disediakan secara percuma kepada orang ramai yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, antara khidmat nasihat dan rundingan syariah ditawarkan seperti permohonan perceraian secara baik, fasakh, taklik dan tebus talak serta tuntutan nafkah i'ddah, muta'ah, nafkah isteri dan tunggakan nafkah isteri.

"Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan syariah berkaitan hak jagaan anak dan nafkah anak, harta sepencarian, hibah dan faraid, iktiraf nikah dan iktiraf nikah poligami serta perkara lain yang berkaitan dengan hubungan suami isteri di dalam perkahwinan.

"Diharapkan kerjasama yang terjalin dengan PGSM Melaka melalui Pengerusinya, Datuk Mohd Adli Ithnin dapat membantu pihak kerajaan negeri dalam menangani masalah institusi kekeluargaan Islam di negeri ini secara lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:28 PM