PERASMIAN secara maya oleh Mohd Naim. FOTO Facebook Persatuan Peguam Syarie Malaysia
PERASMIAN secara maya oleh Mohd Naim. FOTO Facebook Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 50 Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie PGSM (Khidmat'S PGSM) disediakan seluruh negara bagi membantu masyarakat Muslim mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma ketika berdepan kesukaran Covid-19.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada pihak terbabit mendapatkan nasihat perundangan syariah secara bersemuka dengan peguam syarie bertauliah, kebanyakannya ahli PGSM sendiri.

"Penubuhan Pusat Khidmat'S PGSM adalah lanjutan daripada program konsultasi guaman syariah atas talian yang dilancarkan April lalu bagi membantu umat Islam yang mempunyai isu atau konflik berkaitan undang-undang syariah mendapatkan khidmat nasihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Konsultasi dalam talian ini masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini, namun ia amat terhad apabila pengadu atau pelanggan tidak dapat bersemuka dengan peguam syarie yang memberikan konsultasi.

"Mereka tidak kenal dan tidak dapat melihat wajah antara satu sama lain dan daripada situlah tercetusnya idea untuk mewujudkan Pusat Khidmat'S PGSM ini.

"Sekiranya ada masyarakat yang berhubung dengan talian konsultasi atas talian PGSM, mereka ini akan dipanjangkan terus ke Pusat Khidmat'S PGSM untuk mendapatkan konsultasi secara bersemuka dengan panel peguam syarie berhampiran mereka," katanya pada Majlis Pelancaran Khidmat'S PGSM secara maya hari ini.

Hadir merasmikan pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Musa berkata, penubuhan Pusat Khidmat'S PGSM ini bukan saja memudahkan urusan masyarakat malah membantu rakan peguam syarie yang terjejas dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

"Walaupun negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), isu membabitkan tuntutan ke Mahkamah Syariah masih berterusan, namun operasi di Mahkamah Syariah bagi negeri PKPB dihadkan semula hanya untuk pendengaran kes tertentu dan mendesak saja boleh difailkan dengan mengemukakan Perakuan Segera.

"Jadi, dengan adanya pusat ini, pelanggan yang terjejas tidak perlu merentas negeri mendapatkan khidmat nasihat berkaitan syariah kerana 50 pusat ini disediakan seluruh negara dan kita jangkakan jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Untuk makluman, perkhidmatan Pusat Khidmat'S PGSM adalah percuma danjika pelanggan yang sudah mendapatkan khidmat nasihat itu bersetuju membawa kesnya ke Mahkamah Syariah, fi guaman syarie untuk mewakili pelanggan berkenaan adalah berpatutan berdasarkan persetujuan bertulis antara pelanggan dan anak guam dengan panel peguam syarie berkenaan," katanya.

Katanya, firma yang dipilih sebagai Pusat Khidmat'S PGSM adalah firma yang mempunyai bilik konsultasi sesuai untuk tujuan khidmat nasihat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, menyediakan penyukat suhu badan dan cecair pembasmi kuman dan merekodkan setiap butiran pelanggan yang hadir.

"Pemilik firma juga dikehendaki melaporkan kepada pihak urusetia Khidmat'S PGSM pada setiap minggu atau dua minggu sekali berkenaan berkenaan maklumat pelanggan yang hadir untuk konsultasi bagi tujuan pemantauan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan senarai lokasi dan peguam syarie yang menjadi panel Khidmat'S PGSM boleh melayari https://khidmatspgsm.blogspot.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 12:22 PM