FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah di seluruh negara dan firma peguam syarie untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presidennya, Musa Awang berkata, mahkamah dan sektor guaman yang tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan berlaku permasalahan yang memberi kesan kepada masyarakat Islam secara keseluruhanya.

Katanya, gesaan itu dibuat kerana kes yang didengar dan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja, tetapi meliputi kes pertikaian lain seperti keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan fizikal, injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, Perintah Interim jagaan anak dan sebagainya.

Katanya, statistik sedia ada menunjukkan peningkatan luar biasa kes perceraian semasa PKP.

"Sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu (2020).

"Hilang punca pendapatan, menganggur dan tertekan semasa PKP mencetuskan 'kebiasaan baharu' dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian. Masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP.

"Kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, menyebabkan konflik dalam rumah tangga dan berlaku perceraian," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan kepada Mahkamah Syariah atau peguam syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dalam tempoh sewajarnya, supaya tidak timbul masalah lain.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kes Keganasan Rumah Tangga (KRT) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP meningkat dengan ketara.

"Statistik merekodkan sebanyak 902 kes dilaporkan sepanjang Januari hingga April tahun 2021 (empat bulan pertama tahun 2021), dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.

"Manakala statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga dibuka kertas siasatan, manakala statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga diterima.

"Apabila berlaku keganasan dalam rumah tangga, mangsa boleh merujuk kepada Peguam Syarie, yang akan menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis, mendapatkan Perintah Injunksi Interim Tegahan Gangguan daripada Mahkamah Syariah atau Perintah Perlindungan (IPO) (daripada Mahkamah Majistret)," katanya.

Katanya, statistik itu menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara beroperasi dan membenarkan firma peguam syarie beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Tambahnya, firma guaman syariah bukan sahaja berperanan mewakili masyarakat membuat tuntutan di Mahkamah Syariah, malah memberikan khidmat konsultasi kepada masyarakat awam yang mencari alternatif untuk meluahkan permasalahan dan tekanan perasaan akibat masalah perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 4:48 PM