SULAIMAN (tengah) menerima kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Melaka, Adli Ithnin (dua kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN (tengah) menerima kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Melaka, Adli Ithnin (dua kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

KERAJAAN negeri dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Melaka menyediakan Program Khidmat Nasihat dan Rundingan Syariah Secara Atas Talian (online) bagi membantu orang ramai, khususnya pasangan Islam di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, khidmat nasihat guaman syarie secara percuma itu disediakan menerusi aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon terus kepada 29 peguam syarie yang berdaftar di bawah persatuan terbabit.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan bertujuan membantu orang ramai, terutama yang berada di negeri ini, yang berkemungkinan berdepan masalah rumah tangga sepanjang PKP.

“Ketika ini, semua mahkamah syariah dan pejabat agama Islam daerah ditutup, justeru kerajaan negeri berpendapat, akan ada kes pergolakan dan konflik dalam rumah tangga, khususnya yang membabitkan pasangan Islam.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama ini dan berterima kasih atas inisiatif PGSM,” katanya selepas menerima kunjungan hormat ahli PGSM Cawangan Melaka diketuai Pengerusinya, Mohd Adli Ithnin di Seri Negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Sulaiman berkata, antara khidmat nasihat dan rundingan yang ditawarkan antaranya ialah lafaz cerai luar mahkamah, konflik giliran bermalam bagi pasangan berpoligami serta keganasan domestik.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 5:28 PM