PERTEMUAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Hasni Mohammad hari ini. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
PERTEMUAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Hasni Mohammad hari ini. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


BARISAN Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu dijangka dibarisi pemimpin negeri yang berpengalaman.

Sumber berkata, beberapa pemimpin utama UMNO, MIC, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS akan dilantik ke barisan EXCO dengan majlis angkat sumpah dijangka pada Jumaat ini.

Katanya, secara tradisinya barisan EXCO Johor dianggotai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan UMNO, MIC, BERSATU, PAS selain ADUN Bebas dijangka akan membentuk gabungan berkenaan.

“Seperti di peringkat Persekutuan, EXCO baharu yang dilantik juga akan terdiri dalam kalangan pemimpin utama gabungan parti yang membentuk kerajaan negeri selain mewakili komposisi kaum negeri.

“Antara yang hampir pasti tersenarai sebagai EXCO Johor adalah Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan yang juga ADUN Kahang selain Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali yang juga ADUN Semarang.

“Nama dua lagi pemimpin berpengalaman dari UMNO turut diperkatakan dengan seorang daripadanya adalah bekas EXCO Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan yang juga ADUN Seri Medan, ” katanya ketika dihubungi.

Petang tadi, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, majlis angkat sumpah barisan EXCO baharu Johor dijangka akan dilakukan pada minggu ini.

Hasni dilaporkan berkata, majlis akan sumpah itu perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas pentadbiran dengan berkesan.

Sementara itu, sumber yang membabitkan parti politik yang membentuk gabungan baharu kerajaan Johor juga mendakwa, satu-satunya wakil PAS iaitu Kapten (B) Najib Lep yang juga ADUN Bukit Pasir, juga dijangka disenaraikan.

“Sejak Hasni mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor, petang Jumaat lalu, ada kem politik mendakwa formula 4-3-1-1-1 akan digunakan iaitu empat (UMNO), tiga (BERSATU) serta masing-masing satu MIC, PAS dan Bebas bagi membentuk barisan EXCO baharu negeri.

“Pemimpin BERSATU yang dijangka akan disenaraikan pula adalah Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri yang sebelum ini adalah EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor yang juga ADUN Tenang,” katanya.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan, semuanya perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai payung negeri.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membabitkan 56 kerusi dengan agihannya ketika ini terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), BERSATU (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 8:47 PM