HASNI (tengah) beramah mesra dengan penyokongnya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18.FOTO MMohd Azren Jamaludin
HASNI (tengah) beramah mesra dengan penyokongnya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18.FOTO MMohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Johor yang baharu ditubuhkan dengan majoriti mudah melalui Gabungan Baharu bukan kerajaan pintu belakang tetapi berpunca kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan Gabungan Baharu ditubuhkan dengan majoriti mudah 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding PH 26 kerusi.

“Saya ingin tegaskan, lantikan ini berpunca daripada kejatuhan PH, bukan menerusi apa yang didakwa kerajaan pintu belakang. Ini bukan perbuatan berpunca daripada kita.

“Pelantikan ini juga adalah hak mutlak Sultan Johor bagi menjaga kepentingan negeri dan rakyatnya.

“Kita juga akan terus menghormati demokrasi dalam negara kerana krisis berpanjangan hanya akan menyebabkan kesan negatif kepada ekonomi. Kini tanggungjawab kami (Gabungan Baharu) untuk lakukan yang terbaik buat negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus memaju dan memakmurkan negeri dengan hala tujunya akan diumumkan dalam masa terdekat.

ADUN Benut itu sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jam 5.09 petang tadi.

Hasni, 61, adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor selain Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Rabu lalu, Sultan Johor bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka susulan BERSATU meninggalkan PH Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018

Sementara itu, Hasni berkata Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu akan dilantik dalam tempoh seminggu.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein.

Katanya, beliau akan menyediakan senarai EXCO yang lengkap sebelum memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon perkenan baginda dalam tempoh terdekat.

“Komposisi barisan EXCO Johor yang baharu akan mewakili komposisi rakyat Johor.

“Kita akan pertimbang dan bahagikan dengan adil walaupun PAS hanya ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor.

“Buat masa ini gabungan kerajaan Johor akan dikenali sebagai Gabungan Baharu buat sementara waktu, ” katanya pada sidang media di Hotel Mutiara di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Mazlan, Abdullah selain ADUN Barisan Nasional (BN) dan penyokong.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:27 PM