HASNI (kanan) bergambar sebelum memulakan mesyuarat dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor. FOTO Zain Ahmed
HASNI (kanan) bergambar sebelum memulakan mesyuarat dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor. FOTO Zain Ahmed
Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof dan Omar Ahmad

SERAMAI 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor kelihatan hadir ke Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, bagi menghadiri mesyuarat tergempar mulai jam 4 petang tadi.

Antara yang kelihatan adalah ADUN Kahang, R Vidyananthan; ADUN Tenggaroh, Raven Kumar; ADUN Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan ADUN Sungai Balang, Zaiton Ismail.

Turut kelihatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausahanya, Datuk Samsolbari Jamali.

Difahamkan mesyuarat itu bagi membincangkan keadaan politik semasa negeri ini selepas peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim.

Pagi tadi, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dilaporkan berkata, BN Johor yakin tidak akan berlaku situasi kerajaan tergantung di negeri ini kerana parti politik sedia ada mampu meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Hasni dilaporkan berkata, situasi di Johor tidak boleh disamakan seperti Pusat dan kerjasama parti politik di negeri ini tidak boleh hanya dihadkan di antara BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sahaja.

Beliau dilaporkan berkata, UMNO Johor sedang memperincikan jumlah kerusi DUN di negeri itu dan tidak akan menunggu Kerajaan Pusat untuk membentuk kerajaan jika mendapat sokongan majoriti.

Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), BERSATU (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1).

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:13 PM