Mohamed Farid Noh dan Nurul Amanina Suhaini


MAJLIS angkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu dijangka Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata beliau sedang memuktamadkan senarai akhir sebelum dipersembahkan semula kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk diperkenankan esok.

“Saya sedang memuktamadkan senarai akhir barisan EXCO bersama pengerusi parti gabungan yang lain dan akan mempersembahkan semula senarai nama cadangan EXCO Gabungan Baharu kepada Sultan Johor, esok.

“Senarai nama awal sudah dipersembahkan kepada Sultan Johor membabitkan lebih daripada 10 nama sebelum ini bagi pertimbangan Tuanku. Insya Allah, saya berharap Jumaat ini barisan EXCO baharu akan dapat mengangkat sumpah, ” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, di sini,hari ini.

Hadir sama,Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mazlan Bujang dan Pengerusi MIC Johor,R Vidyananthan.

HASNI Mohammad (tengah) bersama bakal barisan EXCO baharu FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
HASNI Mohammad (tengah) bersama bakal barisan EXCO baharu FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Tengah hari tadi, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan tiba di Istana Pasir Pelangi dipercayai bagi mempersembahkan senarai cadangan nama Ahli Majlis EXCO Johor kepada Sultan Ibrahim Iskandar.

Isnin lalu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dilaporkan berkata, majlis angkat sumpah barisan EXCO baharu Johor dijangka akan dilakukan pada minggu ini.

Hasni dilaporkan berkata, majlis akan sumpah itu perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas pentadbiran dengan berkesan.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 4:58 PM