AMINOLHUDA (dua dari kiri) bersama ADUN Johor daripada AMANAH terus setia bersama parti dan PH ketika mengadakan sidang media Parti Amanah Johor di Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
AMINOLHUDA (dua dari kiri) bersama ADUN Johor daripada AMANAH terus setia bersama parti dan PH ketika mengadakan sidang media Parti Amanah Johor di Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof


SEMBILAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus setia bersama parti dan Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.

Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan berkata, ia sekali gus menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad semalam, yang mendakwa mendapat sokongan 33 ADUN termasuk dua daripada AMANAH bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

“Saya tidak nafikan ADUN AMANAH termasuk saya menerima tawaran untuk menyokong gabungan BN dan PAS Johor untuk membentuk kerajaan negeri baharu, namun kami mempunyai prinsip dan berikrar kekal setia dengan AMANAH dan PH.

“Dakwaan BN Johor yang mempunyai sokongan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga tidak benar kerana ada yang masih terus menyokong PH dan tidak mahu menerima tawaran mereka.

“Kita juga ada berbincang dan kenal pasti ADUN BERSATU untuk terus menyokong PH,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir tujuh ADUN AMANAH Johor iaitu Dzulkefly Ahmad (Iskandar Puteri), Dr Faizul Amri Adnan (Serom), Dr Sulaiman Mohd Nor (Kemelah), Muhamad Said Jonit (Mahkota), Nor Hayati Bachok (Maharani), Muhammad Taqiuddin Cheman (Pulai Sebatang) dan Khairuddin A Rahim (Senggarang).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan AMANAH turut hadir.

Manakala Datuk Seri Salahuddin Ayub (Simpang Jeram) tidak hadir pada sidang media berkenaan.

Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini terdiri daripada 14 daripada UMNO, DAP (14), BERSATU (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1).

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor mendakwa, BN Johor sudah mendapat sokongan 33 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Hasni yang juga ADUN Benut mendakwa, jumlah itu membabitkan 17 ADUN UMNO, MIC dan PAS, 11 ADUN BERSATU, tiga ADUN PKR dan dua ADUN AMANAH.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, AMANAH Johor juga menjunjung muafakat PH Johor serta mendukung keputusan AMANAH Nasional untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:05 PM