MENTERI Besar, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama barisan Ahli Exco baharu ketika sidang media Pengumuman  Barisan Exco Makmur Johor, di Kediaman rasmi Menteri Besar Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Besar, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama barisan Ahli Exco baharu ketika sidang media Pengumuman Barisan Exco Makmur Johor, di Kediaman rasmi Menteri Besar Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


SIDANG khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disarankan Pakatan Harapan (PH) semalam adalah terpulang kepada budi bicara Speaker, Suhaizan Kaiat.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau secara peribadi menganggap tiada keperluan mengadakan sidang khas berkenaan berikutan penubuhan kerajaan baharu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

“Itu budi bicara Speaker Johor dan kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk sidang khas berkenaan.

“Jika sidang khas itu bertujuan untuk mengesahkan kerajaan yang ada ini dapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), perkara itu sudah diputuskan Sultan Johor berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu mengangkat sumpah dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein.

Pagi tadi, 10 EXCO mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene membabitkan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN- Rengit), Zaiton Ismail (BN- Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN- Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (BERSATU-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (BERSATU-Tenang); Tosrin Jarvanthi (BERSATU-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis).

Ditanya ketiadaan satu-satunya ADUN PAS di Johor, Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) dalam barisan EXCO, Hasni yang juga ADUN Benut berkata, peranan wakil rakyat tidak terhad sebagai EXCO semata-mata.

“Ada juga ADUN yang akan dilantik sebagai peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Johor dan ada juga akan dilantik menerajui DUN Johor.

“Insya-Allah, Yang Berhormat Najib Lep akan dilantik sebagai Timbalan Speaker yang baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, barisan EXCO baharu akan dinamakan sebagai EXCO Makmur Johor.

“Saya namakan barisan exco ini sebagai EXCO Makmur Johor. Itu sahaja memadai untuk rakyat mengetahui bahawa matlamat pentadbiran saya adalah semata-mata untuk memanfaatkan Johor.

“EXCO Kerajaan Johor ini adalah mereka yang mahu bekerja untuk untuk Johor dengan mereka ini diperkenankan oleh Sultan Johor untuk mengemudi negeri kita bersama-sama saya,” katanya.

Katanya, EXCO Johor juga harus mengamalkan tadbir urus yang telus dan adil di samping berakar kukuh dengan identiti Johor.

“Cukuplah sudah kita berpolitik. Cukuplah sudah kita berkelahi. Sudah pastinya, kita mahu yang terbaik untuk Johor mulai hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 3:10 PM