MUHAMMAD Maqamin Amin menunjukkan slip serta sijil penghargaan yang diterimanya pada majlis hari ini. FOTO Amran Hamid.
MUHAMMAD Maqamin Amin menunjukkan slip serta sijil penghargaan yang diterimanya pada majlis hari ini. FOTO Amran Hamid.
Noorazura Abdul Rahman


ANAK kepada bekas penyanyi kumpulan rock, Melissa berjaya memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Muhammad Maqamin Amin Mohd Radzi, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi berkata sangat bersyukur dengan kejayaan itu walaupun tidak dapat berkongsinya dengan arwah bapa yang dikenali Ustaz Radzi.

Katanya, kejayaan itu didorong semangat jati diri yang dipupuk daripada arwah bapanya, selain pesanan supaya mengutamakan perintah Allah dalam setiap perkara dilakukan.

“Walaupun ayah sudah tiada, tapi nasihatnya tetap saya ingat sehingga sekarang, saya akan cuba solat di awal waktu selain bangun awal pagi untuk solat tahajud sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Saya pernah belajar di sekolah tahfiz , menjadi amalan saya menghafaz al-Quran sebelum subuh kerana pada waktu itulah otak manusia lebih segar dan mudah mengingati ilmu yang dibaca,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.

Terdahulu, calon cemerlang STPM Kedah itu diraikan pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Negeri Kedah di Kolej Sultan Sallehudin, Alor Setar.

Muhammad Maqamin Amin berkata, sudah merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang geografi dan membantu keluarganya.

Pada 23 Disember 2018, Ustaz Radzi atau nama penuhnya Mohd Radzi Abdul Hamid, 52, meninggal dunia selepas rebah ketika menjayakan persembahan bersama kumpulannya untuk program Hiburan Santai Seniman.

Program itu anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 3:57 PM