Ridzuan Abdul Rahman


PEMAIN gitar kumpulan Melissa, Fareez tidak mahu masyarakat tersalah anggap dengan kemunculan Ustaz Radzi di pentas nyanyian.

Fareez berkata, penampilan Radzi di pentas nyanyian adalah untuk berdakwah.

“Sebenarnya dia turut merancang untuk melakukan tazkirah ketika persembahan kami,” katanya.

Radzi, 55, atau nama sebenarnya, Mohd Radzi Abdul Hamid yang juga penyanyi Melissa pada awal 1990-an rebah selepas 12 saat memulakan persembahan dalam program Hiburan Santai Seniman di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, malam semalam.

Dia kemudian dipapah untuk ke bilik rehat di belakang pentas sebelum disahkan meninggal dunia akibat masalah jantung dan komplikasi buah pinggang pada jam 11.15 malam oleh pegawai perubatan yang dikejarkan ke situ.

Dalam program itu, Radzi adalah artis terakhir mengadakan persembahan bersama rakannya dalam Melissa.

Dia sepatutnya menyanyikan beberapa lagu dengan lagu terakhir ialah lagu popular mereka iaitu Cinta Untuk Nabila.

Fareez berkata, Radzi juga adalah rakan yang mengajaknya ke jalan yang benar.

“Prinsip dakwahnya perlu dicontohi oleh artis-artis lain. Pemain bass kami, Ajak juga sudah berubah ke arah kehidupan yang lebih baik sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Fareez juga menafikan Radzi terus rebah di pentas seperti tular di Internet sejak semalam, sebaliknya Allahyarham masih mampu bangun dan berjalan ke belakang pentas sambil diiringi rakan-rakan.

Jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat sebelum dimandi dan disembahyangkan di surau HKL lalu dibawa ke kampung halamannya di Kampung Baru, Jitra, Kedah.

Fareez berkata, dia dan Ajak turut ke Jitra untuk membantu menguruskan pengebumian jenazah Allahyarham, hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri Zaimah Mokhtar, 46, dan enam anak iaitu Muhammad Firdaus, 24, Muhammad Naim, 23, Muhammad Adnin, 22, Solehah, 20, Muhammad Maqamin Amin, 17, dan Syakinah Nabila, 12.

Radzi yang mula mencipta nama bersama Melissa pada awal 1990-an turut popular dengan lagu seperti Lambaian Sayonara, Wajahmu Di Mataku dan Memikat Cahaya bersama kumpulan itu.

Berita berkaitan

'Siapa sangka ini yang terakhir'

Ustaz Radzi meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 5:27 PM