Amirul Aiman Hamsuddin


HOSPITAL Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam menafikan berlakunya jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) di daerah itu, seperti tular di laman sosial.

Ahli Lembaga Pelawat HTAJ, Mohammad Haris Baharudin berkata, perkara itu tercetus susulan terdapat seorang individu dari Sekinchan yang baharu pulang dari Vietnam disyaki dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata, gejala dialami individu terbabit bukan disebabkan koronavirus baharu.

“Jika benar perkara ini (koronavirus) berlaku, saya yakin pihak kesihatan mengambil tindakan segera sebagai langkah keselamatan.

“Malah, saya sudah mendapatkan pengesahan daripada Pengarah HTAJ, Dr Muhammad Aslahuddin Samsudin berhubung perkara itu.

“Sehingga kini, pihak hospital dan kesihatan tidak menerima laporan pesakit dijangkiti koronavirus baharu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Haris menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara tidak benar sehingga menimbulkan perasaan cemas dan bimbang dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, jika maklumat itu tidak sahih dan palsu, penyebar berita palsu itu bakal berdepan tindakan undang-undang.

Justeru, katanya, orang ramai perlu merujuk kepada saluran boleh dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita diterima.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 3:38 PM