BERITA palsu mengenai wabak Covid-19. FOTO ihsan Facebook KKM
BERITA palsu mengenai wabak Covid-19. FOTO ihsan Facebook KKM
Muhaamad Hafis Nawawi


MASIH terdapat pihak dikesan sengaja mencetuskan panik berhubung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) dengan menyebarkan berita palsu sehingga tular di media sosial.

Malah, individu tidak bertanggungjawab ini dilihat cuba menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat selepas Covid-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke negara lain termasuk Malaysia.

Terbaru maklumat palsu sekali lagi tular di media sosial kononnya Hospital Shah Alam; Hospital Selayang; Sekinchan, Selangor; Jenjarom, Selangor dan Hospital Sunway, Cheras dikesan kes Covid-19.

Bagaimanapun, berita itu dinafikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laman sosial Facebook (FB) rasminya dan menasihatkan orang ramai tidak mempercayai berita yang ditularkan itu.

“Berita berkenaan terdapat pesakit positif Covid-19 di Hospital Shah Alam adalah tidak benar dan ia adalah berita palsu.

“Hospital Shah Alam adalah bukan hospital yang disenaraikan untuk rujukan bagi penyakit Covid-19. Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini,” katanya.

Sementara itu, pihak KKM turut menafikan kejadian Covid-19 berlaku di Hospital Sunway Cheras, Hospital Selayang, Sekinchan, Selangor, Jenjarom, Selangor dan Hospital Sunway, Cheras.

Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam juga menafikan dakwaan terdapat pesakit Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

Ahli Lembaga Pelawat HTAJ, Mohammad Haris Baharudin berkata, perkara itu tercetus susulan terdapat seorang individu dari Sekinchan yang baharu pulang dari Vietnam disyaki dijangkiti wabak itu, namun gejala dialaminya bukan disebabkan wabak itu.

Terdahulu, satu video berdurasi 25 saat yang menunjukkan beberapa individu sedang memakai sut berwarna putih serta memakai topeng hidung dan mulut di hadapan Unit Kecemasan Hospital Selayang yang dikaitkan dengan Covid-19 tular di media sosial.

Sebelum ini, satu klip video selama 13 saat memaparkan beberapa individu lengkap sut perlindungan menolak seorang wanita berkerusi roda di Mid Valley turut tular di media sosial yang didakwa ada kaitan Covid-19.

Setakat ini juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 26 kertas siasatan berhubung kes penyebaran berita tidak sahih berhubung penularan Covid-19 di media sosial.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya menerima tiga lagi laporan iaitu dua di Kuching dan Miri, Sarawak dan satu lagi di Temerloh, Pahang.

“PDRM menggesa orang ramai menghentikan spekulasi berkenaan siasatan-siasatan yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, penyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 9:24 AM