PELANCONG memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan koronavirus baharu di klia2. FOTO Luqman Hakim Zubir.
PELANCONG memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan koronavirus baharu di klia2. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Zuhainy Zulkiffli


SEHINGGA kini tiada kes disyaki wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) di Pulau Pinang, sekali gus menafikan maklumat tular mendakwa negeri itu sudah terjejas wabak.

Malah, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, belum ada pesakit yang dimasukkan ke mana-mana hospital negeri mempunyai simptom wabak.

“Dalam berita yang tersebar itu mendakwa Hospital Seberang Jaya (HSJ) sudah menerima kes pertama koronavirus membabitkan dua warga China yang mengunjungi Thailand.

“Kami menafikan sepenuhnya kenyataan itu dan sehingga hari ini, tiada sebarang kes disyaki yang dimasukkan di mana-mana hospital di negeri ini.

“Sehubungan itu, kami memohon supaya orang ramai lebih berhati-hati dan tidak menyebarkan berita palsu, informasi tidak sahih atau tidak benar yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut tular, gambar kapal mewah yang berlabuh di jeti di Georgetown, dua hari lalu yang didakwa dinaiki ratusan warganegara China dan dikhuatiri pembawa virus berkenaan.

Dr Asmayani meminta orang ramai merujuk sumber rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di web www.moh.gov.my atau badan kesihatan antarabangsa http://www.who.int/ untuk maklumat tepat.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:55 PM