PORTAL 'Sebenarnya.my'.
PORTAL 'Sebenarnya.my'.
BERNAMA

PERANAN dimainkan portal 'Sebenarnya.my' serta agensi-agensi berita rasmi kerajaan diharap dapat mengekang penularan berita palsu berkaitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya bertanggungjawab dalam memastikan penerangan dan maklumat penting yang benar dan sahih sampai kepada semua lapisan masyarakat terutamanya hebahan mengenai jangkitan itu.

Menurut beliau, sehingga semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi portal 'Sebenarnya.my' sudah menangkis dan menjelaskan hampir 30 berita palsu berhubung 2019-nCov yang disebarkan di internet.

"Kita tidak mahu berita tidak benar menular di media sosial dan ini adalah usaha SKMM untuk memperbetulkan keadaan dan saya rasa ia berjaya menunjukkan hasil.

"Jadi sekiranya kita mahu melihat sesuatu perkara itu benar atau tidak, semua boleh merujuk kepada portal ‘Sebenarnya.my’," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri 2020 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di Putrajaya tadi.

Pada masa yang sama, katanya, agensi berita rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan bahawa masyarakat mendapat berita dan maklumat yang sahih, ditentusahkan dan terkini mengenai wabak itu.

"Selain daripada laporan berita, pelbagai bahan penyampaian maklumat juga digunakan seperti video, kapsul dan infografik kesedaran awam dan langkah-langkah pencegahan dalam pelbagai bahasa," katanya.

Jelasnya usaha itu penting bagi memastikan rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai 2019-nCoV dan juga langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mencegah penyebaran virus itu.

Selain itu, katanya, setakat 31 Januari lalu, sebanyak 432 program ‘Info on Wheels’ (IOW) berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Program hebahan bersemuka itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapat pemahaman yang lebih baik daripada pasukan unit hebahan itu jika ada keraguan atau ketidakpastian mengenai 2019-nCoV.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:00 PM