PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari (kanan) bersama penduduk membuat tinjauan kawasan Sungai Bernam, Tanjung Malim. FOTO IHSAN PEMBACA
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari (kanan) bersama penduduk membuat tinjauan kawasan Sungai Bernam, Tanjung Malim. FOTO IHSAN PEMBACA
Rosman Shamsudin


KERAJAAN Negeri memandang serius isu pencemaran Sungai Bernam yang dipercayai berpunca daripada projek pembinaan berhampiran Kampung Simpang Empat, Tanjung Malim, dekat sini.

Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan secara telus termasuk dalam aspek penguatkuasaan yang lebih ketat bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan sehingga menjejaskan penduduk.

Menurutnya, sebelum mengambil tindakan lanjut, pihaknya akan meminta laporan terperinci daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat daerah mengenai isu yang dibangkitkan penduduk itu.

Beliau berkata, isu pencemaran sungai tidak sepatutnya berlaku dan perlu ada langkah pencegahan supaya ia kekal bersih.

"Hasil tinjauan dan pemerhatian saya hari ini mendapati kualiti air di sungai itu nampak jernih tetapi ia sedikit tercemar.

"Saya memahami masalah yang timbul kepada penduduk apabila sungai ini dicemari akibat projek itu. Saya berjanji akan mencari jalan penyelesaian terutama dalam aspek peraturan yang wajib dipatuhi oleh pemaju," katanya ketika membuat lawatan di Sungai Bernam berdekatan Kampung Simpang Empat, petang tadi.

Terdahulu Abdul Aziz menerima memorandum bantahan isu pencemaran sungai itu yang disampaikan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Sungai Bernam, Md Zahar Othman di hadapan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), pagi tadi.

Demonstrasi aman itu disertai seramai 80 penduduk yang menggesa tindakan segera diambil kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri menerima banyak laporan berkaitan isu pencemaran disebabkan pembinaan projek perumahan.

“Kerajaan perlu tangani segera (isu pencemaran) daripada membiarkan masalah ini berlarutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 4:49 PM