WARNA air anak sungai di Kampung Baru Sungai Tiang menjadi merah jambu. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
WARNA air anak sungai di Kampung Baru Sungai Tiang menjadi merah jambu. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


PERUBAHAN warna air anak sungai di Kampung Baru Sungai Tiang, Bagan Datuk, menjadi merah jambu bukan disebabkan pencemaran kimia sebaliknya disebabkan air basuhan hasil laut untuk pembuatan belacan.

Penduduk mendakwa perubahan warna air selain berbau busuk disebabkan pencemaran berpunca daripada empangan rosak dan kilang belacan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perubahan warna air itu tidak membabitkan bahan kimia dan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menunjukkan ia tidak membabitkan isu pencemaran.

Menurutnya, perubahan warna itu dipercayai berpunca daripada kewujudan kilang belacan berhampiran kawasan berkenaan.

“Jabatan Kesihatan sudah melakukan pemeriksaan dan setakat ini tiada yang serius tetapi kualiti (air) itu kita mahu jaga.

“Bagaimanapun kita akan melihat supaya tidak ada sebarang pelanggaran kepada peraturan dan undang-undang yang ada termasuk membabitkan kilang belacan berkenaan,” katanya selepas melakukan tinjauan di sungai berkenaan hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelakkan sebarang masalah ketika kerja penyelenggaraan dijalankan Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) di sungai berkenaan.

Katanya, penduduk bimbang kawasan jemuran udang kering mereka akan terjejas apabila jentera melalui terbabit.

“Kita sudah mengenal pasti masalah yang menjadi rungutan penduduk dan mohon agensi berkaitan supaya menjalankan langkah sepatutnya supaya ia dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak Norazizi Adinan berkata, pihaknya sudah menjalankan lima siasatan sejak 2018 dan pemeriksaan sampel air di premis berkenaan juga sudah diambil pada 1 Julai lalu.

Katanya, perubahan warna air disebabkan air basuhan hasil laut iaitu udang daripada kilang belacan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 2:22 PM