MD Zahar (kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Exco Pendidikan Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz . FOTO Ihsan pembaca
MD Zahar (kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Exco Pendidikan Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz . FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

SERAMAI 80 penduduk Kampung Simpang Empat, Tanjung Malim, berhimpun dalam demonstrasi dan perhimpunan aman di hadapan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), dekat Behrang, pagi tadi.

Demonstrasi jam 9 pagi itu bertujuan mendesak MDTM supaya mengambil tindakan serius bagi menangani isu pencemaran Sungai Bernam yang dipercayai berpunca daripada projek pembinaan berhampiran kawasan berkenaan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Sungai Bernam merangkap Pengerusi Persatuan Komuniti Islam (PKI) Kampung Simpang Empat, Md Zahar Othman berkata, masalah pencemaran itu bermula sejak bulan Ogos tahun lalu apabila pemaju membina tangki septik dan menyalurkan air ke hulu sungai itu.

Menurutnya, kesan jangka pendek mendapati air sungai yang jernih kini bertukar keruh dipercayai akibat kesan kerja pembinaan perumahan malah menjadi lebih buruk ketika hujan lebat.

Katanya, Sungai Bernam adalah kawasan riadah dan rekreasi bagi penduduk kampung termasuk pengunjung luar.

PENDUDUK Kampung Simpang Empat mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM). FOTO Ihsan pembaca
PENDUDUK Kampung Simpang Empat mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM). FOTO Ihsan pembaca

“Ia sumber rezeki kepada pengusaha chalet terletak di tepi sungai berkenaan yang diusahakan penduduk kampung. Sungai Bernam juga sumber pendapatan nelayan dan pengusaha kolam ikan yang menggunakan air sungai itu.

"Sudah 14 kali sungai itu tercemar kerana air daripada kawasan pembinaan disalurkan pemaju ke sungai itu.

"Jangka panjang sungai itu bakal dicemari pula dengan air yang diproses daripada tangki septik yang terletak kira-kira 200 meter dari sungai itu," katanya ketika dihubungi, hari sini.

Terdahulu, Md Zahar menyerahkan memorandum bantahan kepada Exco Pendidikan Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari dan MDTM.

Sementara itu, Persatuan Pencinta dan Sahabat Sungai Daerah Muallim (PPSSDM) Shaharin Samsuddin berkata, pencemaran itu menjejaskan pelbagai spesis ikan dan habitat dalam air musnah.

Katanya, dia berharap pihak bertanggungjawab mencari alternatif bagi mengatasi masalah itu bersama pihak pemaju dengan segera bagi menyelamatkan Sungai Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 1:34 PM