Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran di Sungai Masai, di sini yang kini kembali menghantui nelayan dan penduduk sekitar.

Selepas isu 'sungai hitam' berjaya ditangani beberapa bulan lalu, timbul pula tompokan putih pada sungai berkenaan yang dikesan sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Aziz berkata, pihaknya tidak menyangka permasalahan itu timbul selepas isu sungai hitam yang berlarutan 10 tahun, diatasi.

Katanya, tompokan putih itu ketara di permukaan air dan ia menyamai tepung serta mengeluarkan bau busuk, malah tidak diketahui punca serta kesan akibatnya.

"Kami sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mahupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi tindakan lanjut.

"Pencemaran ini melumpuhkan kegiatan 250 nelayan kerana mengakibatkan peralatan menangkap ikan termasuk bot, jaring dan sebagainya rosak.

"Malah kami juga khuatir ia mengakibatkan perusahaan kupang gulung tikar kerana tompokan putih turut dilihat di lokasi ternakan," katanya pada sidang media di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini, hari ini.

MOHD Azizi menunjukkan kesan pencemaran di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Azizi menunjukkan kesan pencemaran di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru. FOTO Mary Victoria Dass

Azli berkata, lebih 50 pengusaha kupang berkemungkinan rugi RM1.4 juta sekiranya tompok putih mencemar tuaian hampir 50,000 tan.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru Mukim Plentong, Daud Saad berkata, permasalahan itu jika tidak ditangani boleh juga memusnahkan ekosistem sungai apatah lagi ia dikesan melekat pada pokok bakau.

"Ia secara tidak langsung membimbangkan kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di kampung sekitar. Kami tidak pasti selamat atau tidak memakan hasil marin dari kawasan," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad berkata, pihaknya khuatir jika pencemaran terkini itu daripada sisa bahan kimia yang boleh memudaratkan nyawa.

"Kita tidak mahu perkara ini berlarutan dan harap pihak berkuasa dapat mengenal pasti segera pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 3:04 PM