PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan air di Rantau Panjang masih lagi berada di paras bahaya berikutan limpahan air Sungai Golok. FOTO FATHIL ASRI
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan air di Rantau Panjang masih lagi berada di paras bahaya berikutan limpahan air Sungai Golok. FOTO FATHIL ASRI
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan menunjukkan peningkatan malam ini kepada 2,627 mangsa berikutan pertambahan di daerah Pasir Mas yang terjejas akibat paras Sungai Golok terus meningkat.

Jumlah membabitkan 900 keluarga yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 10 malam, kesemua PPS di Machang ditutup selepas 122 mangsa dibenarkan pulang.

Mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai membabitkan 1,853 mangsa daripada 701 keluarga di sembilan PPS.

Manakala, mangsa banjir di Tanah Merah seramai 522 mangsa daripada 131 keluargadi 10 PPS.

Diikuti mangsa banjir di Jeli membabitkan 252 orang daripada 68 keluarga di tiga PPS.

Sementara itu, mengikut laporan di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, www.publicinfobanjir.water.gov.my,

Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras bahaya dengan bacaan 10.41 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 10:34 PM