Itik `Rosy Billed Porchards’ dan burung Pergam Rawa antara yang akan diterima Zoo Taiping dari PCZG.
Itik `Rosy Billed Porchards’ dan burung Pergam Rawa antara yang akan diterima Zoo Taiping dari PCZG.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ZOO Taiping & Night Safari bakal menerima kemasukan 30 ekor burung yang tersenarai dalam kategori spesies terancam melalui persefahaman yang dijalin bersama Fukuoka City Zoological Garden (FCZG) Jepun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Borhan Abdul Halim berkata, persefahaman itu bertujuan untuk memulihara habitat hidupan yang membabitkan konservasi pembakaan secara `ex-situ’ serta `in-situ’ bagi melindungi haiwan terancam.

Menurutnya, sebagai permulaan Zoo Taiping akan menerima 10 burung Pergam Rawa (Pied Imperial Pigeons), itik `Rosy Billed Porchards’, serta burung Camar Perak (Silver Gulls).

“Ia turut membabitkan penghantaran sepasang burung Keria Mahkota (African Crown Crane) ke FCZG, yang mana kesemua penghantaran itu akan dilaksanakan awal tahun depan.

“Melalui persefahaman ini, MPT selaku pengendali Zoo Taiping & Night Safari akan mempergiat kolaborasi dan kerjasama dalam memperbaiki kebajikan haiwan di kedua-dua zoo susulan pengiktirafan yang diberikan kepada Taiping sebagai antara 100 destinasi mampan 2018 oleh Green Destinations.

“Diharapkan kerjasama ini bakal membawa kedua-dua pihak ke fasa yang lebih produktif dan inovatif selain memperuntukkan hubungan menerusi program lain yang bakal membawa manfaat buat kedua-duanya pada masa depan,” katanya kepada media selepas menyaksikan pertukaran memorandum antara Zoo Taiping &Night Safari dan FCZG hari ini.

Borhan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Kevin (kiri) dan Sato di Zoo Taiping & Night Safari hari ini. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Borhan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Kevin (kiri) dan Sato di Zoo Taiping & Night Safari hari ini. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Zoo Taiping diwakili pengarahnya, Dr Kevin Lazarus manakala FCZG diwakili Sato Hiroaki.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak Yusoff Shariff.

Borhan berkata, kolaborasi itu antara lain memberi nilai tambah terhadap kriteria yang dinilai melalui penarafan Green Destinations khususnya membabitkan usaha pemuliharaan hutan dan habitatnya serta naik taraf destinasi tarikan pelancong khususnya berkenaan tapak ekopelancongan.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Bandar Fukuoka Takashima Soichiro yang menyokong program (persefahaman) antara MPT dengan Fukuoka City selepas 30 tahun hubungan terjalin antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Fukuoka City.

“Tidak dilupakan terima kasih juga kepada Datuk Bandar Ipoh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang turut menyokong program ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 9:22 PM