DR Kevin Lazarus (empat kiri) pada  Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Perasmian Zoo Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DR Kevin Lazarus (empat kiri) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Perasmian Zoo Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PENGHANTARAN 30 ekor burung spesis terancam oleh Fukuoka City Zoological Garden (FCZG) Jepun kepada Zoo Taiping & Night Safari (Zoo Taiping) dijangka ditunda susulan sekatan pelawat dari beberapa negara termasuk Jepun berikutan penularan koronavirus baharu Covid-19.

Pengarah Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus berkata, penundaan penghantaran itu berlaku kerana pihaknya harus menunggu kelulusan permit dan saringan keperluan kesihatan haiwan berkenaan membabitkan kedua-dua negara.

Menurutnya, proses memohon permit import sudah dilakukan namun masih meniti perkembangannya sebelum ia boleh dimuktamadkan.

Katanya, sebagai contoh permit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta keperluan kesihatan disahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu diperoleh sebelum penghantaran dapat dilakukan.

“Perkara ini membabitkan kedua-dua pihak (negara). Jepun kena pohon (permit) mereka disamping harus memenuhi keperluan ditetapkan di negara itu. Begitu juga di pihak (negara) kita.

“Saya difahamkan adanya jawatan kuasa dibentuk di peringkat nasional untuk menganalisa risiko berkaitan Covid-19 di mana permohonan untuk menganalisa perlu dibuat.

“Jadi terpulang bagaimana agensi yang berkaitan menasihati kita. Kalau mereka memutuskan untuk tunda, kita akan menurutinya dan jangkaan kita ia memang akan ditunda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Perasmian Zoo Taiping, di Taiping, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 10 daripada 30 ekor burung yang tersenarai dalam kategori spesies terancam seperti Pergam Rawa (Pied Imperial Pigeons), itik `Rosy Billed Porchards’ dan burung Camar Perak (Silver Gulls) akan diterima Zoo Taiping, awal tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Kevin berkata, terdapat penurunan sebanyak 33 peratus jumlah pengunjung ke Zoo Taiping sepanjang Januari hingga Februari berbanding bagi tempoh sama tahun lalu dipercayai susulan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 4:00 PM