MELAWAT Zoo Taiping & Night Safari pada waktu malam pastinya memberi pengalaman yang berbeza.
MELAWAT Zoo Taiping & Night Safari pada waktu malam pastinya memberi pengalaman yang berbeza.
Hafiz Ithnin


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya Tourism Malaysia melancarkan Kempen Stimulus Cuti-Cuti Malaysia Santai di Zoo bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengunjungi zoo di Malaysia di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).

Kempen itu adalah program kerjasama dengan Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping & Night Safari yang menawarkan potongan harga istimewa untuk tiket masuk sehingga 31 Mac 2021.

Program Stimulus Cuti-Cuti Malaysia, Santai di Zoo antara inisiatif Kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi negara melalui pembabitan penggiat-penggiat industri pelancongan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Tourism Malaysia berkata, sebanyak 40 peratus diskaun diberikan bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak ke Zoo Negara.

Katanya, lebih 16,000 tiket ditawarkan bermula 1 Januari 2021 dengan pembelian secara atas talian melalui platform e-dagang Shopee.

"Antara program lain yang ditawarkan oleh Zoo Negara termasuk Zoo Walk 2021, program sukarelawan zoo KeeperKu, pakej Cikgu Kancil untuk lawatan sekolah yang merangkumi 13 program pendidikan, program santai sambil bermalam di zoo iaitu Zoo Camp, program menguji minda dan mencari harta karun iaitu Zoo Hunt, Hari Bumi, Hari Kesedaran Orangutan, Karnival Hari Kanak-Kanak Sedunia, aktiviti memancing, pakej hari keluarga.

Bagi Zoo Melaka, diskaun 30 peratus ditawarkan bagi tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 20,000 pengunjung pertama yang melawat Zoo Melaka bermula 1 Januari 2021 dengan pembelian secara atas talian.

"Tarikan baru di sini termasuk Dinosaur Encounter & Animal Interaction dan Flying Monkey (zipline pertama di zoo).

AKTIVITI beriadah di Zoo Negara boleh menjadi pilihan kepada warga kota.
AKTIVITI beriadah di Zoo Negara boleh menjadi pilihan kepada warga kota.

MESKIPUN bersantai, SOP perlu dipatuhi.
MESKIPUN bersantai, SOP perlu dipatuhi.

"Zoo Melaka juga turut menawarkan pelbagai program berbentuk pendidikan seperti Zoolunteer, Zoo Troopers dan Zoomanji," katanya.

Kenyataan itu turut memberitahu, Zoo Taiping & Night Safari menawarkan lebih 30,000 pengunjung pertama yang melawat Night Safari, Taiping akan menikmati diskaun 30 peratus bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak bermula 1 Januari 2021.

"Pembelian boleh dibuat melalui kaunter jualan tiket masuk di Zoo Taiping & Night Safari dan sah untuk penggunaan pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

"Pengunjung juga berpeluang untuk membeli pakej-pakej lain yang ditawarkan seperti Pakej Edu-Fun & Learn 1 dan Pakej Khidmat Masyarakat Khas, Special Zoo Ranger Tours," katanya.

Antara haiwan baharu yang boleh dilihat di Zoo Taiping & Night Safar termasuk Burung Merak Hijau, Nyala, Burung Punai Gading, Burung Punai Tanah, Egyptian Goose dan banyak lagi.

Pengunjung juga dapat melihat pelbagai haiwan seperti Hyena, Eland, Impala, dan Yellow-Headed Water Monitor Lizard.

"Tawaran istimewa ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Melalui kempen ini, jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan adalah lebih 70,000 tiket.

"Tourism Malaysia memanggil semua rakyat Malaysia untuk merebut peluang ini dan menggalakkan rakyat Malaysia meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati keunikan khazanah hidupan liar serta meneroka keindahan zoo-zoo di Malaysia," katanya.

Jelasnya, kempen ini juga diharap akan dapat memupuk minat, kesedaran serta rasa kecintaan orang ramai kepada keindahan alam semula jadi di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:32 AM