NOLEE Ashilin (dua kanan) menunjukkan buku Coffee Table Book Zoo Taiping & Night Safari yang ditandatanganinya bersama YDP MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir (dua kiri). FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
NOLEE Ashilin (dua kanan) menunjukkan buku Coffee Table Book Zoo Taiping & Night Safari yang ditandatanganinya bersama YDP MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir (dua kiri). FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan membina kandang burung enggang dan reptilia (ular) baharu serta menaik taraf kandang pameran harimau, beruang dan singa di Zoo Taiping & Night Safari di sini, membabitkan kos RM1.8 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, kos pembinaan akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM2.28 yang disalurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tahun lalu.

"Peruntukan untuk (naik taraf dan kandang baru) sebenarnya sudah diluluskan tahun lalu, termasuk Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM 468,890.

"Kerja-kerja ini akan dilaksanakan tahun ini dan kini dalam proses tawaran tender," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Zoo Taiping & Safari Night (1961- 2021) ke-60 di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Di Pertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir.

Nolee Ashilin berkata, ia dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke zoo tertua negara, terutama dengan kebenaran rentas daerah yang dilonggarkan bermula 5 Mac lalu.

Sementara itu, beliau berkata, sempena sambutan itu, Zoo Taiping & Night Safari menawarkan tiket masuk percuma kepada pengunjung yang berusia 60 tahun tahun ini.

Ditanya mengenai sektor pelancongan domestik dan perhotelan di Perak, beliau berkata, sektor itu kini kembali pulih dengan kebenaran rentas daerah yang diberikan kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kelonggaran ini memberi kelegaan kepada pemain industri yang sebelum ini terjejas.

"Apabila rentas daerah dibuka, kita tengok sekarang ini di bandar Ipoh dan zoo sendiri, sudah mula dikunjungi orang ramai, jumlahnya begitu memberangsangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:55 PM