Zaid Salim


“PADA mulanya kami ke sungai untuk memancing tetapi Danish ajak kami mandi,” kata Muhammad Safin Aiman Salim, 14.

Muhammad Safin Aiman adalah rakan Danial Danish Muhamad Jasmin, 14, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, Kuala Terengganu 2.45 petang hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di kawasan sungai pada 1.30 tengah hari, dia bersama tiga lagi rakan, Muhammad Iman Rahimi Maizatil Hakmin, 14; Muhammad Haikal Abdul Jalil, 14, dan Muhammad Aniq Syahmi Azman, 16 serta mangsa mandi sebelum memancing.

“Bagaimanapun selepas setengah jam mandi Danish secara tiba-tiba mengajak kami beralih tempat sebelum ke lokasi lain kira-kira 300 meter dari tempat kami mandi.

“Danish mengajak kami berpindah tempat kerana mendakwa air di kawasan itu dalam berbanding di sini (lokasi kejadian) sebelum dihanyutkan arus,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir mangsa mandi di kawasan itu kira-kira lima bulan lalu.

Mangsa yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu dikatakan pulang bercuti sempena Deepavali dan akan kembali ke sekolah hari ini.

Ibu mangsa, Nurhayati Ali, 38, berkata, dia menyedari anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah untuk pergi memancing.

“Selepas makan tengah hari dia memberitahu saya mahu memancing di sungai bersama rakan dan membawa bersama sebatang joran.

“Dia sudah biasa ke sungai itu untuk memancing dan mandi bersama rakan setiap kali pulang bercuti,” katanya yang tinggal di Kampung Tebauk di sini.

Menurutnya, dia menyedari kejadian menimpa anaknya selepas rakan anaknya menelefon memaklumkan mengenai kejadian.

Katanya, susulan kejadian dia bergegas bersama suami, Muhamad Jasmin Salleh, 45, ke lokasi.

“Sejak pulang bercuti Khamis lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. Ketika keluar rumah saya cuma pesan balik awal kerana akan pulang ke asrama pada 5 petang.

“Kami reda dengan kejadian yang menimpa anak dan berdoa Danial Danish ditemui.

“Saya terima apa saja keadaannya kerana yang penting bagi saya biarlah dia ditemui segera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Rahman berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa kini giat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.

“Usaha mencari mangsa dijalankan bomba dengan kaedah selaman di sekitar kawasan 10 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Berita berkaitan

Remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 8:02 PM
Nurhayati menanti operasi mencari dan menyelamat anaknya di Sungai Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Nurhayati menanti operasi mencari dan menyelamat anaknya di Sungai Terengganu. FOTO Imran Makhzan