Siti Rohana Idris


Tumpat: "Saya ada terdengar suara Along minta tolong, tapi sayup-sayup sahaja. Saya ingatkan dia bergurau kerana keadaannya tidak nampak cemas."

Begitu kata Ahmad Danish Mas Yuri, 14, adik kepada remaja lelaki Ahmad Hilmi, 18, yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Pulau Besar, di sini, hari ini.

Ahmad Danish, 14, berkata dia melihat abangnya tidak meronta dari jarak 50 meter, sebaliknya berenang dalam keadaan terlentang menyebabkan dia tidak mengambil endah.

"Saya dan sepupu sudah berada di tebing selepas mandi bersama, manakala Along yang berada di tebing seberang ingin berenang merentasi sungai untuk naik ke daratan.

"Disebabkan Along pandai berenang, kami tidak mengendahkannya. "Kemudian sayup-sayup saya terdengar Along menyebut "bang, tolong bang" kepada seorang penduduk yang berada tidak jauh darinya, namun individu itu tidak mendengarnya, malah saya menyangkakan dia bergurau," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ahmad Danish berkata, mereka turun ke sungai untuk menjala kira-kira 11.30 pagi tadi sambil mandi-manda dan ingin naik ke darat pada 1.40 tengah hari sebelum berlaku tragedi berkenaan.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Norhayati Yusof, 40-an, berkata Ahmad Hilmi tinggal di Manjong, Perak pulang bercuti di kampung halaman dan menetap di rumahnya di Kampung Jambu, Kota Bharu.

Menurutnya, penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu beriya-iya mengajak sepupunya turun memukat di tali air tidak jauh dari rumah, namun tidak dituruti.

"Hari ini selepas Along menduduki peperiksaan dalam talian, kami datang ke rumah bapa saudara di sini dan dia kelihatan tidak sabar untuk turun memukat di sungai.

"Along dan dua adiknya serta dua lagi sepupu pada mulanya menaiki perahu milik bapa saudara sebelum tiga daripadanya ingin mandi, namun tidak menyangka kira-kira dua jam selepas itu, Along hilang di sungai.

"Jauh di sudut hati, kami sangat berharap Along segera ditemui walau harapan agak tipis. Keluarga tidak putus berdoa semoga ada berita gembira," katanya memberitahu kedua ibu bapa mangsa dalam perjalanan ke Kelantan dari Perak.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat serta BBP Pengkalan Kubor termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Pencarian turut disertai saudara-mara serta penduduk kampung yang menaiki bot persendirian dan menggunakan kaedah memukat.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dekat Kampung Pulau Besar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari, mangsa pergi ke sungai berkenaan bersama beberapa rakannya.

Ahli keluarga mangsa menunggu di tebing sungai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahli keluarga mangsa menunggu di tebing sungai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 8:32 PM