Ibu saudara arwah menunjukkan gambar Nurul Fairiefsa yang ditemukan lemas selepas mandi di sungai pada petang semalam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Ibu saudara arwah menunjukkan gambar Nurul Fairiefsa yang ditemukan lemas selepas mandi di sungai pada petang semalam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: "Tolong, serius aku lemas." Itu jeritan terakhir Nurul Fairiefsa Zaidi, 19, kepada salah seorang saudaranya sebelum tenggelam di Sungai Kelubi di Kampung Kelubi, petang semalam.

Rosmaira Maisara Mohd Azan, 13, berkata sebelum kejadian, lebih kurang pada jam 1 tengah hari, arwah ada mengajaknya memancing udang di sungai berkenaan dan mereka turut ditemani dua saudara serta seorang rakan.

Menurut anak sepupu kepada Nurul Fairiefsa itu, selepas selesai memancing, arwah mengajaknya untuk mandi dan mereka turun bersama ke dalam sungai.

"Bagaimanapun, arwah secara tiba-tiba hanyut dibawa arus dan dalam kekalutan arwah memaut tangan serta menarik rambut saya dan selepas itu hilang dari pandangan.

"Namun saya terkilan kerana arwah cuba menarik seluar yang saya pakai, namun seluar itu tertanggal dan arwah hanyut dibawa arus.

"Saya pula terselamat kerana sempat berpaut pada dahan pokok. Dua saudara yang turut bersama, berlari sambil menjerit untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kelubi, di sini, hari ini.

Katanya, arwah yang bekerja di kedai makan di Pulau Pinang pulang ke kampung pada 8 Februari lalu untuk bercuti dan menghadiri kenduri kahwin saudara.

"Sejak pulang ke kampung, arwah sudah beberapa kali mengajak saya untuk memancing udang dan mandi di sungai, namun saya tidak mengendahkannya.

"Bagaimanapun petang semalam, saya tergerak hati untuk menemani arwah ke sungai, namun tidak menyangka itu adalah kali terakhir kami bersama sebelum arwah ditemui lemas.

"Kami amat rapat sejak dari kecil dan beberapa hari sebelum kejadian saya melihat arwah berubah menjadi pendiam, namun tidak mengesyaki apa-apa," katanya yang masih trauma.

Media semalam melaporkan, seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas mandi di sungai ditemukan lemas jam 7 malam semalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Il Noorzaidi Mohamed, berkata mayat mangsaditemui abangnya kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jenazah Nurul Fairiefsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hau pada jam 11.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:39 PM